Guru dari Kelantan maut dalam kemalangan ngeri
Posted on April 13, 2012, Friday
LIMBANG: Seorang pemilik kedai makan di sini tidak menyangka kelakuan pelik seorang guru yang juga pelanggan tetapnya mencuci tangan sejurus tiba di kedainya pagi kelmarin, rupa-rupanya petanda terakhir sebelum terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 28 Jalan Batu Danau, malam kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, Dzulkarnain Paudzi yang berasal dari Kelantan dan bertugas sebagai guru kelas Pemulihan Linus di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Pusat, maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Zaidi Mohamad cedera parah di bahagian tangan dan muka.
Pemilik kedai terbabit berkata, mangsa gemar minum teh halia dan disifatkan sebagai seorang yang baik hati dan mesra dengan orang di sekelilingnya.
“Biasanya dia (mangsa) akan minum di kedai saya setiap pagi bersama seorang rakannya.
“Namun, kami berasa pelik dengan kelakuannya yang tiba-tiba mencuci tangan kerana beliau tidak pernah bersikap demikian selama ini,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Beliau berkata, mangsa juga sempat berborak dengan tukang bancuh minuman di kedai terbabit sebelum beredar pada hari kejadian.
Kelakuan pelik itu, jelasnya, menjadi petanda terakhir sebelum Dzulkarnain terbunuh dalam kemalangan berkenaan.
“Kehilangan beliau amat dirasai, dan kami berasa sedih kerana kehadirannya sering memeriahkan kedai makan ini,” katanya pemilik kedai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Inspektor Khairol Ridzuan Ahmad ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, kemalangan tersebut membabitkan tiga buah kenderaan termasuk kereta Kancil yang dipandu mangsa, sebuah kereta Toyota Fortuner dan Toyota Camry.
Khairol Ridzuan berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari Brunei menuju ke bandar bersama rakannya yang juga seorang guru di SK Gadong di sini.
“Dalam perjalanan pulang, kereta mangsa bertembung dengan sebuah kereta Toyota
Fortuner dari Kota Kinabalu menuju ke Brunei dan hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan.
“Manakala, kereta Toyota Camry yang mengekori kereta Kancil itu tidak sempat mengelak dan merempuh kereta mangsa.
“Akibatnya, mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah dan kedua-dua kakinya patah,” katanya.
Beliau memberitahu, mangsa yang turut mengalami kecederaan lain di beberapa bahagian badan, manakala rakannya yang mengalami kecederaan parah di tangan dan muka dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
Beliau menjelaskan, polis masih menyiasat punca kemalangan manakala pemandu Toyota Fortuner terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) untuk soal siasat.
“Pemandu kereta Fortuner kini masih ditahan untuk disoal siasat di bawahSeksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Khairol Ridzuan menambah, sebanyak empat kemalangan melibatkan lima kematian direkodkan sepanjang tahun ini sehingga kelmarin.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa meningkatkan keselamatan terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati puluhan orang memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah mangsa yang dimandikan di Masjid Besar di sini.
Difahamkan, jenazah Dzulkarnain akan dihantar ke Miri menggunakan van jenazah sebelum diterbangkan dari Miri ke Kuala Lumpur pada jam 4.20 petang ini untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/04/13/guru-dari-kelantan-maut-dalam-kemalangan-ngeri/#ixzz1ruzPCgCE
No comments:
Post a Comment